Pengenalan

medium2

MARDI telah memainkan peranannya selama 40 tahun menjalankan penyelidikan dalam bidang pertanian, makanan dan industri asas tani. Peranan ini bertepatan dengan fungsi penubuhan MARDI untuk menjana teknologi yang boleh dikomersialkan untuk kemajuan industri pertanian, makanan dan asas tani.

Justeru, aktiviti pemindahan dan pengkomersialan teknologi kepada kumpulan sasar dilihat sebagai agenda penting yang perlu dilaksanakan secara efektif bagi merealisasikan Dasar Pertanian Negara Ketiga kearah mentransformasi sektor pertanian sebagai jentera pertumbuhan ekonomi negara.

Program Kursus & Latihan Teknikal MARDI telah ditubuhkan dengan objektif untuk mengendali kursus dan latihan yang berdaya maju dalam usaha memindahkan teknologi dan maklumat berkaitan pertanian kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada agen pengembangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta daripada agensi selain MOA, kakitangan MARDI, juruteknik, usahawan IKS, petani dan pekebun kecil serta orang awam.

Sehingga November 2009, sebanyak 68 kursus telah dilaksanakan dengan melatih seramai 1832 orang peserta. Untuk tahun 2010 pula sebanyak 71 modul kursus akan ditawarkan yang terdiri daripada 20 modul kursus kluster tanaman, 10 daripada kluster ternakan, 30 daripada kluster makanan dan 11 daripada kluster lanjutan. Daripada jumlah ini, sebanyak 17 modul kursus adalah modul baru yang terhasil daripada penyelidikan MARDI yang telah diterjemah kepada modul kursus.

Tenaga pengajar adalah terdiri daripada Pegawai Penyelidik MARDI yang berdedikasi dan pakar dalam bidang penyelidikan masing- masing. Kemudahan yang disediakan adalah bersesuaian dan mampu untuk menjalankan aktiviti kursus dan latihan teknikal yang dirancang. Kursus dan latihan teknikal ini akan dilaksanakan di Kompleks Pusat Latihan MARDI di Serdang dan di stesen-stesen 'Center of Excellent' MARDI di seluruh Malaysia.

Adalah menjadi harapan MARDI agar kursus-kursus yang dirancang di dalam Buku Program Kursus & Latihan Teknikal 2010 ini dapat membantu kumpulan sasar memperolehi pengetahuan dan maklumat lanjut mengenai teknologi pertanian dan makanan berasaskan sains. Seterusnya meningkatkan ilmu yang diperolehi akan memantapkan jati diri dan kemampuan mereka sebagai usahawan untuk berdaya saing di peringkat domestik dan global.

Akhir kata pembangunan kompetensi dan modal insan akan dapat dicapai dengan modul kursus yang ditawarkan.

 

Y.Bhg. Datuk Dr. Abd Shukor Abd Rahman, Ketua Pengarah MARDI