test

Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ialah badan berkanun yang berfungsi membangunkan teknologi untuk kemajuan industri makanan, pertanian dan asas tani tempatan yang mempunyai visi untuk menjadi organisasi Penyelidikan dan Pembangunan yang tersohor dalam bidang tersebut menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Ini selari dengan fokus kerajaan untuk menggiatkan semula sektor pertanian sebagai penyumbang dalam pertumbuhan KDNK negara pada RMK-10. Selain itu, kerajaan turut memberi tumpuan terhadap program pembangunan kemahiran dan aktiviti R&D ke arah penghasilan teknologi berinovasi yang lebih memberangsangkan.

Bagi menyokong dan merealisasi hasrat ini, Program Kursus & Latihan Teknikal MARDI bertekad untuk mengendali kursus dan latihan yang berdaya maju dalam usaha memindahkan teknologi berinovasi dan maklumat berkaitan pertanian kepada kumpulan sasar yang terdiri daripada agen pengembangan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) serta daripada agensi selain MOA, kakitangan MARDI, juruteknik, usahawan IKS, petani, pekebun kecil, sektor swasta serta orang awam. Pada tahun 2010, seramai 1,665 orang peserta telah berjaya dilatih melalui 66 kursus yang telah dilaksanakan. Pada 2011 pula, 75 modul kursus akan ditawarkan iaitu 21 modul kursus kluster tanaman, 11 daripada kluster ternakan, 29 daripada kluster makanan dan 14 daripada kluster lanjutan. Daripada jumlah tersebut, sebanyak 18 modul kursus telah dikenalpasti sebagai modul baru berasaskan teknologi berinovasi yang telah dibangunkan bersama pakar penjana teknologi MARDI.

Kursus yang ditawarkan juga mempunyai keistimewaan tersendiri dari aspek modul yang ditawarkan berasaskan teknologi dan maklumat saintifik dan tenaga pengajar yang terdiri daripada Saintis MARDI pelbagai disiplin. Kursus dilaksanakan di Pusat Latihan, stesen dan ‘Center of Excellent’ MARDI. Pelaksanaan kursus adalah mengikut prosedur yang telah dipersijilkan dengan MS ISO 9001:2008 serta mendapat kerjasama luar dengan badan penyelidikan dan usahawan tempatan. Kemudahan latihan yang ada bersesuaian dan selesa serta mampu untuk menyediakan aktiviti kursus dan latihan teknikal berasaskan kompetensi yang terancang.

Menjadi harapan MARDI agar kursus dan latihan teknikal yang dirancang untuk 2011 akan membantu kumpulan sasar memperoleh pengetahuan dan kemahiran dalam bidang teknologi pertanian dan makanan berasaskan sains. Seterusnya melalui latihan yang diberi akan memantapkan jati diri dan melayakkan mereka menjadi usahawan yang inovatif serta mampu mentransformasikan perniagaan mereka agar berdaya saing di peringkat domestik dan global. Perancangan ini seiring dengan pendekatan dalam pembangunan teknologi MARDI yang dibuat melalui inovasi terancang bagi memastikan teknologi yang dibangunkan berdaya saing. Akhir kata, pembangunan kompetensi dan modal insan akan dapat dicapai melalui modul kursus yang ditawarkan.

"Pemimpin Agro Teknologi"

Y.Bhg. Dato' Shariff Haron, Ketua Pengarah MARDI